Friday, March 8, 2013

MyIPO Galak Lebih Ramai Orang Jadi Pemilik IP Di Negara Ini

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), yang peranannya memantau pembangunan hartanah intelektual (IP) di negara ini, menggalakkan lebih ramai orang menjadi pemilik IP dan bukan hanya sebagai pengguna semata-mata.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=932768
Published: March 08, 2013

Ketua Pengarah MyIPO Datuk Azizan Mohamad Sidin berkata ini sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menggerakkan lagi inovasi menjadi sebagai satu daripada pemacu ekonomi tempatan.

Bagi menggalakkan inovasi, beliau berkata agensi itu telah bekerjasama rapat dengan universiti tempatan yang menjalankan kebanyakan daripada aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menggalakkan R&D. Kami mahu menukarkan masyarakat kita daripada sebagai pengguna IP kepada pemilik IP, dengan kata lain, MyIPO telah bekerjasama dengan universiti tentang cara terbaik yang kami boleh bantu dan memudahkan mereka untuk mempercepat pendaftaran IP," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Malahan, MyIPO telah menganjurkan beberapa sesi meja bulat dengan universiti untuk memahami masalah mereka berkaitan permohonan IP dan memudahkan mereka semasa proses pendaftaran, katanya.

Dari 2007 hingga 2012, sejumlah 186,505 pendaftaran IP dikeluarkan.

Selain daripada universiti, MyIPO juga berusaha keras untuk mewujudkan kesedaran tentang kepentingan Hak Harta Intelektual (IPR) dalam kalangan syarikat serta orang awam.

Beliau berkata pertumbuhan permohonan IP beberapa tahun ini amat menggalakkan, mencerminkan peningkatan kesedaran awam tentang kepentingan IPR dalam kehidupan harian mereka.

"Tahun lepas, MyIPO menerima 40,992 permohonan IP, meningkat 10 peratus berbanding 2011 sebanyak 37,270 permohonan. Daripada jumlah itu, 39 peratus permohonan difailkan oleh rakyat Malaysia," katanya.

Azizan berkata pengguna lebih bijak dalam memilih apa yang terbaik bagi mereka dan lebih cenderung kepada keaslian dan kualiti produk.

"Justeru itu, apabila mereka memilih untuk memilih produk asli atau tulen, ia merupakan petanda yang menunjukkan bahawa mereka menghormati hak IP di mana produk menjadi hak milik pemilik berdaftar," katanya.

Beliau berkata matlamat agensi itu adalah untuk mewujudkan masyarakat yang menilai IP sebagai aset ekonomi berharga dan menghormati hak pemilik IP.

Program kesedaran yang sedang dirancang termasuklah pelancaran maskot IP, Kem Belia IP, Program IP Ke udara di mana PKS yang berjaya berkongsi pengalaman mereka dan mengembangkan kesedaran IP menerusi media sosial.

Sejak beberapa tahun ini, MyIPO telah mencapai banyak kemajuan termasuk memendekkan tempoh menunggu biasa bagi pemprosesan paten dan permohonan cap dagangan masing-masing dari 38 bulan kepada 26 bulan dan dari 18 bulan kepada 12 bulan.

Agensi itu juga memperkenalkan Sistem Dalam Talian IP pada Februari 2011, yang menyediakan sistem pemfailan berasaskan web selamat bagi paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment