Friday, June 21, 2013

BSN Keluar Zakat Perniagaan Berjumlah RM4.6 Juta Bagi Tahun Kewangan 2012

PASIR PUTEH, 21 Jun (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) membayar zakat perniagaan berjumlah RM4.6 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 2012, kata Naib Presiden Kanannya Mohd Sofi Mat Jahaya.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=957766
Published: Jun 21, 2013

Beliau berkata peruntukan itu disalurkan menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di setiap negeri dan kepada asnaf-asnaf zakat yang dikenal pasti di seluruh negara selain pemberian 20 van jenazah kepada masjid dan pertubuhan terpilih.

"Ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sebuah van jenazah kepada masjid Mukim Selising di sini Jumaat.

Turut hadir lebih 50 anggota jawatankuasa masjid berkenaan dan penduduk sekitar serta Pengarah BSN Kelantan, Mohd Azian Abu Saamah.

Mohd Sofi berkata pembayaran zakat itu adalah hasil usaha BSN mempelbagaikan produk dalam Skim Perbankan Islam (SPI), termasuk Sijil Simpanan Nasional (SSP), Akaun Simpanan Giro-1, Akaun Pelaburan Am-i BSN Ahsan, Kad Kredit-i Al-Aiman, Pembiayaan Pribadi (Aflah), Pembiayaan Perumahan dan Teman Niaga (Mikro Kewangan).

Beliau berkata BSN kini berkembang pesat di seluruh negara, dengan lebih 6,000 petugas di 398 cawangan, 998 mesin teler automatik (ATM), 283 mesin deposit tunai, 4,262 ejen berdaftar dan 8 juta pelanggan di seluruh negara dengan simpanan runcit berjumlah RM10.4 bilion.

Katanya BSN menyasarkan perluasan penubuhan ejen berdaftar sebanyak 5,000 dalam tempoh terdekat, termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Serawak, terutama di kawasan yang tidak mempunyai bank komersial untuk memberi perkhidmatan secara menyeluruh kepada rakyat.

"Sebagai sebuah bank yang prihatin dan mengutamakan akses perbankan dan kewangan, kami akan terus komited untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan orang ramai yang memerlukannya," katanya.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment