JAKARTA, 12 Jun (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi akan memotong kuota
jemaah haji Indonesia sebanyak kira-kira 42,000 jemaah pada musim haji
tahun ini kerana terbatasnya ruang ibadah di tanah suci berikutan projek
mega perluasan Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130613/lu_02/Arab-Saudi-potong-kuota-jemaah-haji-Indonesia
Published: Jun 13, 2013
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=955622
Published: Jun 13, 2013
Pemandangan dari udara kerja-kerja pembesaran Masjidil Haram di Mekah yang bermula pada tahun lalu. - AGENSI
Menteri Agama, Suryadharma Ali berkata beliau telah menerima surat
pemberitahuan rasmi dari Arab Saudi tentang pemotongan kuota itu.
Jumlah yang akan dipotong ialah kira-kira 20 peratus dari kuota tahunan
211,000 jemaah haji Indonesia dan ia mewakili kira-kira 42,000 orang
jemaah, portal berita Republika Online melaporkan.
Suryadharma Ali berkata pihaknya belum bersedia mengulas lanjut mengenai
perkara itu namun kerajaan Indonesia akan berusaha melobi di Arab Saudi
untuk sekurang-kurangnya kuota haji dari Indonesia dapat dikekalkan
seperti biasa.
Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Musthafa Ibrahim al-Mubarak telah
memberitahu Republika hujung minggu lalu bahawa pengurangan kuota itu
adalah bersifat umum dan ia dikenakan kepada semua negara, tidak
terkecuali Indonesia.
Musthafa berkata penjaga kedua-dua masjid agung itu berpendapat bahawa
langkah pemotongan kuota jemaah haji adalah untuk kebaikan semua pihak
bagi memastikan jemaah haji dari seluruh dunia dapat beribadat dengan
selesa.
Beliau berkata pengurangan kuota itu dilaksanakan untuk jemaah umrah,
namun beliau tidak dapat memastikan sampai bila ia akan dilaksanakan
kerana projek pembesaran kedua-dua masjid itu yang bermula tahun lalu,
mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Indonesia yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 240 juta orang, mempunyai penduduk Islam teramai di dunia.
--BERNAMA
No comments:
Post a Comment