Monday, June 10, 2013

BSN sasar beri pinjaman mikro RM240j bantu usahawan kecil

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk mengeluarkan pinjaman mikro RM240 juta tahun ini, bagi membantu lebih ramai usahawan kecil dalam pelbagai sektor di seluruh negara.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BSNsasarberipinjamanmikroRM240jbantuusahawankecil/Article
Published: Jun 10, 2013

Naib Presiden Kanan Jabatan Mikro Kewangannya, Nilammasri Ja’afar, berkata tahun lalu, sebanyak RM176 juta pinjaman dikeluarkan dengan lebih 6,700 usahawan mendapat manfaat daripada kemudahan pembiayaan mikro BSN.

Katanya, skim pembiayaan itu yang diperkenalkan sejak 2007 hingga kini sudah membantu lebih 34,000 usahawan di seluruh negara, sebahagian besarnya sektor peruncitan membabitkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM659 juta.
Selain menyediakan kemudahan pembiayaan mikro, kami juga menyediakan khidmat nasihat, latihan, insurans/takaful serta tabungan dalam usaha membantu usahawan mikro mengurus dan mempertingkatkan perniagaan,” Nilammasri Ja’afar, Naib Presiden Kanan Jabatan Mikro Kewangan BSN
“BSN kini peneraju dalam industri pembiayaan mikro di negara ini dan pembiayaan mikro adalah portfolio pinjaman yang sedang meningkat dan dalam proses pertumbuhan memberangsangkan.

Bantuan khidmat nasihat

“Selain menyediakan kemudahan pembiayaan mikro, kami juga menyediakan khidmat nasihat, latihan, insurans/takaful serta tabungan dalam usaha membantu usahawan mikro mengurus dan mempertingkatkan perniagaan,” katanya kepada BH di sini.

Ketika ini, BSN menawarkan pembiayaan kepada tiga kategori perniagaan dengan sektor peruncitan mendahului bagi pinjaman mikro iaitu sebanyak 68.20 peratus diikuti perkhidmatan (12.95 peratus) dan pembuatan (9.28 peratus).

Ditanya mengenai pembiayaan mikro untuk sektor perniagaan francais beliau berkata, BSN pada masa ini tidak menyediakan pembiayaan khusus untuk sektor berkenaan, tetapi mana-mana usahawan yang menjalankan perniagaan sepenuh masa serta layak di bawah definisi perniagaan mikro boleh membuat permohonan untuk skim terbabit.

BSN pastikan pembiayaan mikro relevan

“BSN akan memastikan pembiayaan mikro ini terus relevan dalam industri perbankan yang menyasarkan pembiayaan khusus kepada usahawan mikro mendapat kemudahan pembiayaan bagi mengembangkan perniagaan.

“Pembiayaan mikro yang ditawarkan kepada usahawan mikro ini adalah pembiayaan tanpa cagaran, sudah semestinya (kami) berhadapan dengan risiko kredit yang tinggi. Bagaimanapun BSN akan memastikan portfolio pembiayaan mikro pada tahap yang terkawal,” katanya sambil menambah pembiayaan ditawarkan antara RM5,000 hingga RM50,000.

Kadar faedah tak tinggi

Mengenai kadar faedah yang dikatakan tinggi bagi skim itu, beliau berkata, peratusan dikenakan pada masa ini tidak tinggi berbanding institusi kewangan lain yang menawarkan skim berkenaan.

“Ia bersesuaian dan selaras dengan risiko kredit dalam menyediakan pembiayaan untuk perniagaan yang mempunyai aliran pendapatan tidak tetap,” katanya.

Pada masa ini, Nilammasri berkata, sebanyak 59 pusat mikro kewangan BSN beroperasi di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan dan memproses permohonan pembiayaan mikro. Selain itu, semua 400 cawangan BSN turut menawarkan skim berkenaan.

No comments:

Post a Comment