KUALA LUMPUR, June 8 (Bernama) -- Kementerian Kewangan mensasarkan 90
peratus kadar penembusan bagi perkhidmatan perbankan di seluruh negara
menjelang akhir tahun hadapan, dibantu oleh perkhidmatan ejen bank
berdaftar (EBB).
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=954874
Published: Jun 09, 2013
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata statistik Bank
Simpanan Nasional (BSN) mendapati 75 peratus daripada 837 mukim dengan
penduduk lebih daripada 2,000 orang mempunyai sekurang-kurangnya satu
pusat akses kewangan sejak pelaksanaan perbankan ejen pada tahun lepas.
"Ini merupakan peningkatan ketara daripada hanya 46 peratus pada tahun
2011," katanya pada majlis Malam Anugerah EBB BSN 2012 di sini Sabtu.
Majlis turut dihadiri Pengerusi BSN Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Eksekutifnya Datuk Adinan Maniung.
Ahmad Maslan berkata saluran perbankan ejen berjaya menjimatkan kos
lebih 80 peratus berbanding dengan kos membuka cawangan dan ejen bank
pula mendapat manfaat dari segi bilangan pelanggan yang bertambah ke
premis perniagaan mereka.
"Saya melihat EBB sebagai satu produk 'serampang dua mata' dengan
kelebihan kepada ejen-ejen bank, kemudahan kepada pelanggan dan yang
paling utama menjadi pemangkin untuk rangkuman kewangan yang inklusif,"
tambahnya.
Syarikat Caddy Resources dari Negeri Sembilan menerima anugerah Ejen
Terbaik Peringkat Nasional manakala Hong Leong Trading dari Johor
menerima anugerah Ejen Terbaik Peringkat Negeri.
Majlis yang julung-julung kali diadakan bagi menghargai komitmen dan
kesungguhan EBB BSN yang mencatatkan prestasi cemerlang sepanjang tahun
lepas, turut memberi penghargaan kepada 13 EBB berdasarkan pencapaian
prestasi yang meliputi dua kategori iaitu Ejen Terbaik Peringkat Negeri
dan Ejen Terbaik Peringkat Nasional.
Semenjak diperkenalkan pada tahun awal 2012 sehingga April 2013,
bilangan EBB BSN mencecah 4,044 dengan 6.32 juta transaksi dengan nilai
lebih RM561 juta.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment