Wednesday, June 19, 2013

Jemaah haji dapat tawaran tak terjejas

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memberi jaminan tidak akan menarik balik tawaran kepada bakal haji yang sudah memberikan persetujuan terhadap surat tawaran untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tawaranhajikekal/Article/index_html
Published: Jun 19, 2013

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jemaahhajidapattawarantakterjejas/Article/
Published: Jun 19, 2013

Kuala Lumpur: Semua bakal jemaah haji yang sudah mengesahkan pemergian selepas menerima surat tawaran daripada Lembaga Tabung Haji tidak akan terjejas dengan pengurangan kuota sebanyak 20 peratus.

Pengurus Besar Komunikasi Korporat Tabung Haji, Anis Zuhani Ahmad, berkata bakal jemaah itu boleh meneruskan persiapan mereka seperti biasa, termasuk mengikuti kursus intensif yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Berikutan itu, beliau meminta bakal jemaah yang belum memberi jawapan, menjawab segera surat tawaran yang diterima bagi membolehkan Tabung Haji memuktamadkan senarai jemaah.

Segera beri jawapan

“Masih ada jemaah yang tidak memberi sebarang jawapan kepada kita. Diharapkan mereka segera menjawab untuk memudahkan Tabung Haji menguruskan pemergian jemaah.

“Senarai jemaah perlu dimuktamadkan segera kerana kita tertakluk kepada arahan dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi itu,” katanya kepada BH, semalam.

BH semalam melaporkan Tabung Haji akan merombak semula senarai jemaah yang terpilih menunaikan haji tahun ini, berikutan arahan terbaru Kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota jemaah semua negara sebanyak 20 peratus.

Keputusan itu berikutan kerja pembesaran Masjidil Haram, termasuk menaik taraf mataf iaitu kawasan tawaf untuk menjamin keselesaan jemaah.

Kerja menaik taraf itu bagi membolehkan mataf menampung kira-kira 130,000 jemaah sejam b erbanding hanya 39,000 sekarang.

Anis berkata, individu yang masih belum menjawab surat tawaran Tabung Haji selepas tempoh diberikan berakhir, dianggap sebagai tidak berminat.

Terima tempias

“Begitu juga dengan mereka yang membuat rayuan. Jika (mereka) tidak menerima sebarang jawapan sehingga akhir Ramadan ini, rayuan dianggap sebagai tidak berjaya,” katanya.

Ditanya mengenai kesan pengurangan itu, Anis berkata Tabung Haji sedikit sebanyak menerima tempias apabila tidak dapat meluluskan sebilangan besar rayuan.

“Jika sebelum arahan ini dikeluarkan, kita dapat memproses dan meluluskan sebahagian besar rayuan yang diterima, namun keadaan itu berbeza tahun ini,” katanya.

Sementara itu, bakal jemaah haji, Rahmah Ismail, berkata beliau bersyukur kerana terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini.

“Saya sangat bersyukur mendengar keputusan Tabung Haji yang memutuskan mereka yang sudah menjawab akan dapat pergi tahun ini,” kata suri rumah berusia 72 tahun yang akan ditemani anak lelakinya, Mansor Hasan, 56.

No comments:

Post a Comment