Sunday, June 16, 2013

Tasputra Perkim akan dipertahankan

KUALA LUMPUR 9 Jun - Tanah yang menempatkan pusat jagaan untuk kanak-kanak kurang upaya, Tasputra Perkim, Jalan Ampang Hilir, di sini akan dipertahankan daripada diambil semula oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20130610/wk_02/Tasputra-Perkim-akan-dipertahankan
Published: Jun 16, 2013


Johari Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Fauziah Idris beramah mesra 
dengan kanak-kanak kurang upaya ketika menghadiri program jualan 
amal anjuran Exim Bank di Tasputra Perkim, Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, beliau akan berusaha memastikan tanah kurang 0.4 hektar itu dikecualikan daripada sebarang projek pembangunan supaya peranan pusat tersebut dalam membela nasib 52 penghuninya dapat diteruskan.

Menurutnya, beliau telah pun berbincang dengan pihak berwajib serta pakar bidang berkaitan dan mendapati, tanah yang menjadi pusat itu beroperasi sejak 1987 boleh diselamatkan daripada diambil semula.

"Saya akan meminta kerajaan mewartakan tanah tersebut untuk Tasputra Perkim. Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam merealisasikan matlamat ini.

"Kerajaan boleh melakukan pembangunan di kawasan sekitar tetapi tanah Tasputra Perkim jangan diambil kerana menjadi simbol terhadap usaha-usaha kebajikan dalam membela nasib kanak-kanak kurang upaya," katanya kepada pemberita pada program Charity Jumble Sale 2013 di pusat itu hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman; Presiden Pertubuhan Belia Kristian (YMCA) Kuala Lumpur, Leo Leslie Armstrong dan Presiden Wisma Harapan, Datin Fuziah Idris.

Mengulas lanjut, Johari menjelaskan, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berhubung notis yang dikeluarkan jabatan tersebut kepada Tasputra Perkim pada 17 April lalu.

Dalam pada itu, Elahe berkata, buat masa ini pusat tersebut memerlukan kira-kira RM45,000 sebulan, termasuk untuk gaji kakitangan, penyenggaraan kenderaan serta rumah dan sebagainya.

"Kami daripada Tasputra Perkim meminta jasa baik semua pihak termasuk korporat untuk bersama-sama meringankan beban pusat ini. Mari kita jamin masa depan yang cerah kepada penghuni-penghuni pusat ini," ujarnya.

Pada majlis itu, Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) menyumbangkan sebanyak RM60,000 kepada pusat itu, Pusat Maju Diri Untuk Orang Pekak dan Wisma Harapan (SAMH).

No comments:

Post a Comment