Thursday, June 6, 2013

Kementerian Kewangan Sasar 100 Peratus Penembusan Perkhidmatan Perbankan - BSN

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Kementerian Kewangan menyasarkan 100 peratus kadar penembusan terhadap perkhidmatan perbankan di seluruh negara dengan bantuan Bank Simpanan Nasional Bhd (BSN).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=954202
Published: Jun 06, 2013

Ini susulan pelantikan 5,000 ejen bank berdaftar (EBB) bagi BSN menjelang akhir tahun.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata sehingga kini, sebanyak 4,055 EBB telah dilantik, yang merupakan 78 peratus kadar penembusan bagi perkhidmatan perbankan.

Kemudahan EBB mendapat sambutan menggalakkan sejak dimulakan pada Januari tahun lepas dengan 6.4 juta urusniaga dijalankan yang bernilai RM569 juta.

"Kadar penembusan ini memberi bantuan kepada rakyat negara ini menikmati perkhidmatan perbankan di lokasi mereka walaupun tidak terdapat bank yang beroperasi sekali gus membantu Malaysia mencapai sasaran negara maju menjelang 2020," katanya kepada sidang akhbar selepas melawat ibu pejabat BSN di ibu negara, Rabu.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan EBB adalah pengeluaran tidak lebih RM500, deposit, sijil simpanan premium, pembayaran bil dan tambah nilai untuk telefon prabayar.

"EBB boleh diperolehi di beberapa lokasi dalam mukim, antaranya kedai runcit dan stesen petrol untuk kemudahan orang ramai terutama penduduk luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak membuat urusan perbankan," kata Ahmad.

Sementara itu, kemudahan pembiayaan mikro BSN yang dilancarkan pada 2007 mendapat sambutan yang baik.

Pembiayaan mikro itu kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana sehingga RM50,000 bagi membantu mereka menjalankan pelbagai perniagaan terutama kepada penduduk di luar bandar.

"Sehingga April, BSN mencatat 34,000 peminjam dan jumlah pembiayaan yang telah diluluskan mencecah RM659 juta. Nilai ini menunjukkan ia mendapat permintaan tinggi daripada usahawan tempatan sejak dilancarkan pada 2007," katanya.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment