BATU PAHAT, 27 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani berhasrat mempertingkatkan pengeluaran madu lebah di negara ini
dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama madu di
rantau Asean kelak.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=959449
Published: Jun 28, 2013
Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata untuk itu
kementeriannya akan berbincang dengan Tekun dan Agro Bank bagi
menyediakan pakej rangsangan untuk menarik lebih ramai rakyat di negara
ini terlibat dalam penternakan lebah.
Pada masa ini penternakan lebah dijalankan secara integrasi dengan
tanaman lain seperti kelapa sawit dan rambutan, bukan secara khusus,
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ladang Lebah di Pusat
Pertanian Parit Botak di sini Khamis, yang julung kali diadakan di
negara ini.
Katanya pakej rangsangan itu meliputi latihan, input pertanian, bantuan
peralatan serta kewangan bagi mereka yang mahu menceburi bidang itu,
dan bantuan kewangan dan peralatan bagi pengusaha sedia ada.
Menurut Ismail pada masa sekarang negara terpaksa mengimport banyak
madu mentah dari China, New Zealand dan Australia khususnya bagi
menampung permintaan tempatan.
"Nilai import madu mentah telah meningkat daripada RM26.7 juta pada
2008 kepada RM40.8 juta pada 2011 dan nilai tersebut dijangka meningkat
pada tahun ini sehingga RM50 juta.
"Itu hanya madu mentah dan belum termasuk keperluan madu untuk produk
hiliran yang jika dikira semua akan melibatkan jumlah yang lebih besar,"
katanya.
Ismail Sabri berkata kementeriannya akan menjalankan kempen untuk
membuka minat usahawan menceburi bidang ternakan lebah dan pengeluaran
madu itu kerana potensinya yang besar.
Selain itu, katanya kementerian juga bercadang untuk membuka Pusat
Apiari Nasional di Batu Pahat bagi menjalankan rawatan berasaskan terapi
lebah atau apiterapi.
Beliau berkata rawatan itu yang dijalankan menerusi sengatan lebah atau
apipuntur dapat mengatasi pelbagai penyakit terutama gangguan saraf.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment