Sunday, June 16, 2013

BNM Mahu Galakkan Lebih Banyak Institusi Kewangan Sertai Perbankan Ejen - BSN

KUALA KRAI, 14 Jun (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mahu lebih banyak institusi kewangan di negara ini menyertai program perbankan ejen yang banyak memberi kebaikan, terutama kepada penduduk yang tinggal di pedalaman dan sukar mendapatkan perkhidmatan bank.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=956213
Published: Jun 16, 2013

Pengarah Jabatan Kewangan Pembangunan dan Enterpris BNM Kamari Zaman Juhari berkata sejak diperkenalkan pada 2010, hanya tiga institusi kewangan - Maybank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) - mengambil bahagian dalam menyediakan perbankan ejen.

"Kita mahu menggalakkan lebih banyak lagi bank-bank menyertainya, dan kini sudah pun ada beberapa institusi kewangan lain yang telah menyatakan minat masing-masing.

"Beberapa kajian lengkap akan dilakukan terlebih dahulu sebelum institusi kewangan itu menyertai perbankan ejen, yang mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada penduduk, terutama di pedalaman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program BSN Bersama Komuniti di Kampung Kemubu, Dabong di sini Jumaat.

Turut hadir pada program selama dua hari itu Naib Presiden Kanan/Ketua Jabatan Perniagaan Komuniti BSN Azaddin Ngah Tasir.

Kamari Zaman berkata pada akhir April lepas, sebanyak 4,255 ejen dilantik oleh institusi kewangan yang menyertainya, seperti Pos Malaysia Berhad, stesen minyak, kedai runcit dan kedai ejen telekomunikasi, dengan jumlah transaksinya kini melebihi 5 juta orang bernilai lebih RM760 juta.

"Sejak perbankan ejen ini diperkenalkan, lebih 86 peratus dari jumlah mukim di Malaysia (721 daripada 837 mukim) kini mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan asas berbanding hanya 46 peratus pada akhir 2011. Ini adalah suatu pencapaian yang amat memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata Maybank, CIMB dan Public Bank juga menjalin kerjasama kerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi bagi menyediakan perkhidmatan MyMobile yang baharu diperkenalkan pada awal tahun ini bagi pengguna telefon bimbit.

"Sejak diperkenalkan, seramai 103,000 pengguna menggunakan kemudahan MyMobile ini dengan nilai transaksi sebanyak RM4.2 juta.

"Mereka boleh melakukan transaksi perbankan seperti pertanyaan baki, pemindahan dana, pembayaran bil dan menambah nilai prabayar telefon menerusi khidmat pesanan ringkas," katanya.

Sementara itu, Azaddin berkata BSN kini mempunyai 4,055 ejen bank berdaftar (EBB) di seluruh negara yang telah mencatat bilangan transaksi melebihi 6.5 juta dengan nilai mencecah lebih RM580 juta.

"Perkhidmatan EBB di Kelantan mencatat jumlah transaksi melebihi 400,000 dengan nilai urusan berjumlah lebih RM39 juta. Pada masa ini sejumlah 41 daripada keseluruhan 42 mukim berdaftar di Kelantan mempunyai 311 ejen BSN dan angka ini dijangka meningkat kepada 326 ejen pada penghujung tahun ini," katanya.

Azaddin berkata perkhidmatan EBB itu merupakan idea dan usaha inovatif BSN dalam menawarkan kemudahan perbankan kepada pelanggan, terutama di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai perkhidmatan bank.

"Melalui perkhidmatan ini rakyat Malaysia dapat menjimatkan masa untuk menjalankan urusan perbankan memandangkan ejen EBB BSN beroperasi di kedai-kedai berdekatan kawasan tempat tinggal seperti kedai runcit, kedai ejen telekomunikasi dan lain-lain.

"Di samping itu juga waktu operasi BSN lebih fleksibel dan lebih panjang iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam, dengan setiap transaksi yang dilakukan adalah secara atas talian dan dalam masa nyata," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment