KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH)
menawarkan perkhidmatan hospitaliti melalui rangkaian terbarunya TH
Hotel & Convention Centre Terengganu di Gong Badak di sini, dengan
menawarkan kelainan dengan sepenuhnya mematuhi konsep pematuhan syariah.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961877
Published: July 09, 2013
Hotel Tabung Haji tersebut akan dibuka secara rasminya pada Rabu ini.
Pengurus Besar TH Hotel di sini, Malizan Zakaria berkata hotel itu yang
buat masa ini masih belum beroperasi akan menampung jemaah, terutamanya
dari Wilayah Pantai Timur melaksanakan haji setiap tahun, dan terbuka
kepada orang ramai di luar musim haji.
"Bagi memperkenalkan hotel baru ini, kami membuat promosi untuk bilik,
iaitu pada harga serendah RM180 untuk bilik superior dan deluxe serta
juadah berbuka sempena bulan Ramadan ini.
"Harga ini berserta dengan sahur atau sarapan pagi," katanya kepada Bernama di sini Isnin.
Ia menawarkan 182 bilik yang luas dan selesa, yang terdiri dari bilik
superior, deluxe, keluarga, suite dan apartmen serta juga bilik untuk
orang kurang upaya (OKU).
Malizan berkata pihaknya akan turut memperkenalkan promosi Bufet
Ramadan di Restoran Lagenda sepanjang bulan Ramadan ini dengan
menyediakan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa.
"Restoran berkenaan mampu memuatkan seramai 150 dalam satu-satu masa.
Harga Bufet Ramadan di sini adalah RM59 untuk dewasa dan RM41 untuk
kanak-kanak."
"Bagi setiap pembelian Bufet Ramadan, RM1 daripada bayaran akan didermakan kepada rumah anak-anak yatim," katanya.
Bagi menampilkan kelainan untuk penampilan pertama hotel ini, pihak
hotel juga akan membawa hidangan istimewa dari Timur Tengah sempena
bulan Ramadan iaitu BBQ Kibas dan Nasi Mandy, bermula dari hari ketiga
Ramadan sebagai tarikan berterusan.
Bagi memberi keselesaan yang berterusan, katanya para pengunjung juga
disediakan kemudahan surau yang luas untuk solat Maghrib bagi umat Islam
yang menjamu selera berbuka puasa.
Hotel yang terletak 12 kilometer dari Bandaraya Kuala Terengganu dan
satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ini dilengkapkan
dengan pusat konvensyen, ruang dewan persidangan serta dewan bankuasi
serba guna yang mampu memuatkan 3,000 orang pada satu-satu masa.
Menepati ciri hotel pematuhan syariah, TH Hotel & Convention Centre
Terengganu yang dibina di kawasan seluas 3.2 hektar dengan kos hampir 70
juta juga menyediakan kolam renang tertutup untuk wanita, taman air
kanak-kanak serta beberapa kemudahan lain.
Untuk mengambil keberkatan sebagai hotel yang baru beroperasi, sempena
Ramadan ini, TH Hotel & Convention Centre Terengganu juga akan
menjemput anak-anak yatim dan orang cacat penglihatan untuk satu jamuan
majlis berbuka puasa.
Hotel ini dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TH iaitu TH
Properties Sdn Bhd dan akan digunakan untuk urusan operasi penerbangan
haji bagi jemaah dari Terengganu, Kelantan serta Pahang secara terus ke
Jeddah dan Madinah tanpa perlu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA).
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment