MELAKA, 24 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) akan memperluas
program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) ke kawasan luar bandar di
seluruh negara, kata Pengerusinya Datuk Azeez Abdul Rahim.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=965847
Published: July 25, 2013
Beliau berkata TH mempunyai beberapa program CSR termasuk agihan zakat
kepada golongan asnaf, program pembinaan rumah (Projek Baiti), program
pendidikan (Projek Iqra) dan program kesihatan (Projek Afiat).
"Program-program ini kita akan aktifkan di kawasan luar bandar. Saya
akan minta semua anak syarikat TH keluar membantu golongan yang
memerlukan agar mereka dapat merasa terus bantuan dari TH," katanya
kepada pemberita di sini, Rabu.
Katanya program CSR tersebut memperlihatkan sifat prihatin dan
tanggungjawab TH terhadap keperluan masyarakat Islam setempat khususnya
golongan asnaf.
Selain itu katanya ia memberi platform kepada TH untuk mendekati dan
mengeratkan lagi silaturrahim serta memahami permasalahan dihadapi oleh
komuniti setempat.
Sehubungan itu, Azeez berkata beliau telah meminta semua pengurus
negeri dan daerah TH untuk mendapatkan maklumat mengenai masyarakat
Islam yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.
"Saya melantik semua pengurus negeri dan daerah TH sebagai mata dan
telinga untuk mencari golongan yang memerlukan di kawasan
masing-masing," katanya.
Terdahulu, Azeez menyampaikan zakat keseluruhan berjumlah RM100,000 di
bawah program Ehsan TH sempena Ramadan kepada 200 golongan asnaf di
Melaka.
Katanya TH memperuntukkan RM1.6 juta untuk diagihkan kepada 3,000 asnaf seluruh negara pada tahun ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment