Wednesday, July 24, 2013

Malaysia Terus Merayu Arab Saudi Tambah Kuota Jemaah Haji

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Malaysia akan terus membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi bagi menambah kuota jemaah haji yang dikurangkan 20 peratus tahun ini berikutan kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan di Masjidil Haram, Makkah.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taklayanhelahlapuk/Article/index_html
Published: July 24, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=965519
Published: July 24, 2013



Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata beliau yakin usaha itu akan membuahkan hasil berdasarkan reputasi baik Malaysia serta rakyat negara ini yang berhemah tinggi di kaca mata kerajaan Arab Saudi.

"Usaha membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi memang diteruskan kerana Malaysia memang terkenal mempunyai reputasi yang baik. Bagaimanapun kita tetap akur dengan keputusan Arab Saudi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat kepada 146 penerima di bawah Projek Ehsan Tabung Haji dengan peruntukan RM73,000.

TH memperuntukkan RM1.6 juta untuk diagihkan kepada 3,000 asnaf untuk meringankan beban kewangan golongan itu di seluruh negara.

Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi terpaksa mengurangkan jumlah jemaah haji dari seluruh dunia tahun ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah, berikutan kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang sedang dilakukan di kota suci.

Kerja menaik taraf kemudahan dan pembangunan yang bermula November lalu, dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun dengan matlamat memastikan lebih ramai umat Islam dapat mengerjakan ibadat haji dalam keadaan selesa.

Sementara itu, Abdul Azeez menasihatkan jemaah haji yang disahkan menghidap penyakit kronik seperti asma, darah tinggi dan kencing manis yang serius supaya menangguhkan pemergian ke Makkah kerana bimbang akan menjejaskan kesihatan mereka.

"Keadaan di sana sangat berhabuk dan berdebu jadi ia akan menjejaskan kesihatan jemaah, jadi tangguhkan dahulu pemergian untuk tahun ini," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment