Tuesday, July 30, 2013

Jualan SSP RM2.2b - BSN

Sungai Petani: Bank Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan jualan bernilai lebih RM2.2 bilion menerusi Sijil Simpanan Premium (SSP) apabila berjaya menarik seramai 1.8 juta penyimpan sejak mula dilancarkan kira-kira 38 tahun lalu.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JualanSSPRM2_2b/Article/index_html
Published: July 30, 2013

Naib Presiden Kanan Jabatan Perbankan Islamnya, Mohd Sofi Mat Jahaya berkata, daripada jumlah itu mereka yang berusia 16 hingga 40 tahun menjadi penyimpan terbesar iaitu 40 peratus, manakala usia 41 hingga 50 tahun (25 peratus) dan 60 tahun ke atas (35 peratus).

Menurutnya, BSN turut menawarkan faedah sebanyak 2.24 peratus selama 12 bulan kepada penyimpan dan dua peratus untuk tempoh enam bulan.

Selain itu, katanya, pihaknya juga menawarkan kepada kakitangan kerajaan dan staf syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membeli SSP sebanyak RM1,000 dan menerima tambahan satu unit SSP bernilai RM10.

“Pada masa ini, Kedah mencatatkan jualan tertinggi SSP iaitu RM30 juta sepanjang promosi bagi tempoh sebulan dan melebihi sasaran ditetapkan sekitar RM25 juta, sekali gus mengatasi Terengganu yang merekodkan sebanyak RM28 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Cabutan SSP di Amanjaya, kelmarin.
Hadir sama, Naib Presiden Kanan Jabatan Operasi Peruncitan Kredit BSN Abdullah Aziz Buyung.

Mohd Sofi berkata, bagi tahun ini, pihaknya menawarkan cabutan bernilai RM16 juta dengan 44,000 hadiah berbanding hanya 37,000 hadiah pada 2012 termasuk kereta jenis BMW 320i, Toyota Camry, Proton Inspira, Perodua Viva dan terbaru, Proton Preve.

Menurutnya, BSN turut menawarkan hadiah dalam bentuk sijil SSP bernilai RM1 juta bagi cabutan Perdana, selain baucar barangan kemas dan pelbagai gajet elektronik, manakala nilai hadiah bagi cabutan tempatan sepanjang tahun ini berjumlah RM1.3 juta.

“Selain hadiah utama sebuah kereta Perodua Viva, pemegang SSP juga berpeluang memenangi lima buah motosikal Modenas GT128, 10 unit iPhone dan 150 unit SSP bernilai RM150 setiap satu,” katanya.

No comments:

Post a Comment