Friday, July 5, 2013

Tabung Haji Tidak Pernah Lantik Mana-mana Pihak Anjur Misi Sukarelawan Musim Haji 1434

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah terlibat melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi untuk menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah atau mana-mana program seumpamanya.

Source from (Berita Harian): http://www.bharian.com.my/bharian/articles/TabungHajinafilantiksukarelawanbantujemaah/Article/
Published: July 05, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=960946
Published: July 05, 2013

TH dalam kenyataan Khamis menjelaskan, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai mengenai tawaran menjadi Sukarelawan Musim Haji 1434H anjuran sebuah pertubuhan yang beralamat di Kota Damasara, dekat sini.

Beliau berkata misi itu yang kononnya bertujuan membantu jemaah haji di bawah kelolaan TH turut meminta peserta yang berminat membuat bayaran RM5,000.

"Hasil siasatan awal TH dan maklumat orang awam mendapati pertubuhan itu telah mempromosi program berkenaan melalui taklimat yang dijalankan di tempat-tempat terpilih di seluruh negara yang turut menghebahkannya di laman sosial Facebook.

"TH telah menghubungi pihak kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk pengesahan dan dimaklumkan bahawa tiada visa dikeluarkan untuk program seumpama itu," katanya.

Kenyataan itu menegaskan bahawa TH adalah satu-satunya agensi kerajaan yang telah diamanah dan dipertanggungjawabkan untuk mengurus jemaah haji Malaysia sama ada di tanah air atau di tanah suci.

Beliau berkata TH mempunyai petugas-petugas yang terlatih dan berpengalaman terdiri daripada kakitangannya, pembimbing ibadah yang dilantik sendiri oleh agensi itu serta petugas perubatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan.

"Ketika musim haji hanya petugas-petugas ini yang dibenar dan diberi kuasa untuk mengendalikan urusan jemaah haji di bawah pengelolaan dan seliaan TH," kata kenyataan itu.

Orang ramai dinasihati supaya tidak terpengaruh dengan sebarang program seumpama itu dan diminta membuat laporan kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur-unsur yang mencurigakan.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment