PETALING JAYA, 2 Julai ( Bernama) -- Setakat ini tiada rakyat Malaysia
yang pulang dari Arab Saudi termasuk jemaah umrah, dikesan menghidap
simptom virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), kata Menteri
Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=960319
Published: July 03, 2013
Beliau berkata kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga untuk
mengelak sebarang kemungkinan, antaranya melakukan pemeriksaan suhu
badan di pintu masuk lapangan terbang.
"Kalau pemeriksaan dapati ada yang demam, kami akan minta mereka untuk
menjalani periksaan lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Persidangan dan Pameran Kesihatan Antarabangsa Persatuan Hospital
Swasta Malaysia 2013 di sini, Selasa, yang akan berlangsung hingga
Khamis ini.
Dr Subramaniam berkata demikian sebagai mengulas penularan virus MERS
di Arab Saudi sejak September lepas dan sehingga kini meragut 33 nyawa,
manakala 55 lagi dijangkiti virus itu.
Sehingga kini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum menemui vaksin
untuk mencegah jangkitan MERS selain tidak mengetahui punca jangkitan
virus maut itu.
Antara gejala jangkitan MERS ialah demam panas, kesukaran bernafas, cirit birit dan muntah-muntah.
Dr Subramaniam berkata Kuala Lumpur akan sentiasa memantau perkembangan
semasa di Jeddah selain mengikut segala cadangan serta pandangan yang
diberikan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai cara terbaik menggelakkan
jangkitan MERS.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Subramaniam berkata idustri penjagaan
kesihatan Malaysia merupakan antara sektor yang paling dinamik di negara
ini kerana ia disokong oleh sektor penjagaan kesihatan swasta.
Menyentuh mengenai teknologi penjagaan kesihatan, beliau berkata ia
merangkumi setiap aspek kehidupan manusia dan boleh digunakan daripada
awal kehidupan, sebelum bermulanya penyakit.
"Jika sakit, teknologi penjagaan kesihatan akan membantu dalam membuat
keputusan dan memilih pengamal perubatan yang sesuai melalui direktori
dalam pangkalan data kesihatan," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment