KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Tabung Haji (TH) menyarankan supaya
ibu bapa membuat perancangan haji lebih awal untuk anak-anak mereka. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Ismee
Ismail berkata ini termasuk langkah membuka akaun untuk memudahkan
anak-anak menabung dengan TH sejak awal usia.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=962408
Published: July 11, 2013
Ini boleh menyuntik semangat menunaikan haji pada usia muda, katanya kepada Bernama Rabu.
"Ibu bapa harus membuat perancangan haji seperti mana merancang untuk
memiliki insurans dan persekolahan anak-anak, dan perkara itu perlu
dijadikan budaya dalam masyarakat kita," katanya.
Ismee berkata trend menunjukkan bilangan pendeposit muda semakin
meningkat berdasarkan penyertaan golongan itu yang berumur antara tujuh
dan 17 tahun sebagai anggota Kelab TaHa.
Ismee berkata keanggotaan kelab yang dilancarkan pada 2008 untuk
menggalakkan lebih ramai golongan muda menabung dan menjadi anggota TH
itu kini mencecah 1.2 juta orang.
"Ini membuktikan persepsi golongan muda terhadap Tabung Haji hanya
untuk orang berumur sudah berubah, dan sekarang kami dalam usaha
menggalakkan golongan muda untuk mendaftar haji," katanya.
Sementara itu, suri rumah Siti Norhanis Rakmad, 27, dari Shah Alam,
memberitahu Bernama ibu bapa perlu lebih peka mengenai kepentingan
merancang haji lebih awal termasuk untuk anak-anak mereka seperti yang
disarankan, lebih-lebih lagi ia membabitkan soal giliran untuk
menunaikan ibadah itu.
"Sekiranya anak-anak menabung sejak kecil, tidak mustahil mereka boleh
menunaikan haji lebih awal dengan tubuh badan masih sihat," katanya yang
sudah membuka akaun TH untuk anak lelakinya.
Pandangan sama turut dikongsi penjawat awam, Muhammad Sallehin, 28,
dari Bangi, yang berkata melakukan perancangan awal adalah satu
pendekatan bijak memandangkan kuota jemaah haji ditentukan kerajaan Arab
Saudi.
"Tabung Haji akan mengikut kuota yang telah ditetapkan. Sekiranya gagal
merancang, mungkin anak-anak di kemudian hari terpaksa menunggu giliran
agak lama untuk menunaikan ibadah itu," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment