MEKKAH, 23 Julai (Bernama) -- Projek menaik taraf besar- besaran yang
dilaksana di kota Makkah oleh kerajaan Arab Saudi sejak akhir musim haji
lepas akan menjadikan tanah suci umat Islam itu sebuah bandar raya
pintar.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=965415
Published: July 24, 2013
Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bandarrayapintar/Article/index_html
Published: July 24, 2013
Projek yang merangkumi perumahan, pengangkutan serta kemudahan lain
termasuk lawatan ke tempat bersejarah itu akan menjamin keselamatan dan
keselesaan umat Islam ketika mereka mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Datuk Bandar Kota Mekkah Dr Osama Al-Bar berkata dalam usaha menjadikan
Mekkah sebagai kota raya moden, dua projek mega dilaksana selain projek
khas membabitkan pembesaran Masjidil Haram.
Projek pertama membabitkan penyediaan infrastruktur jalan yang bermula
sejak 2010 dan dijangka siap pada 2017, manakala satu lagi projek
membabitkan pengangkutan awam iaitu tren metro dan bas.
"Rangkaian metro ini mengandungi empat laluan. Diharapkan fasa pertama
akan bermula pada Jun 2014. Jarak keseluruhan ialah 182 kilometer dengan
88 stesen dan laluan mencapai seluruh Makkah," katanya kepada pemberita
Malaysia, di pejabatnya di sini.
Menurutnya, dua pertiga daripada laluan metro itu adalah di atas tanah
manakala baki yang meliputi kawasan tengah dan berhampiran Masjidil
Haram akan dibina bawah tanah.
Pembesaran kawasan Masjidil Haram sejak tahun lepas pula membolehkan
masjid itu memuatkan 400,000 jemaah solat pada satu-satu masa ketika
Ramadan ini.
"Kerja pembesaran yang dijadual mengambil masa tiga tahun ini bermula
pertengahan November lepas, sejurus selesai musim haji. Apabila projek
ini siap, masjid dapat menampung 1.5 juta jemaah solat. Akan tetapi
kapasiti itu boleh dimaksimumkan mencecah dua juta orang," katanya.
Beliau percaya kapasiti baharu itu boleh menampung keperluan bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.
"Terdapat peningkatan kehadiran umat Islam sekarang kerana kedudukan
ekonomi orang Islam di kebanyakan negara adalah baik," katanya.
Menurutnya projek itu adalah yang paling komprehensif dalam sejarah pembesaran Masjidil Haram.
"Apabila Raja Abdullah ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada Ogos 2005,
projek pertama yang baginda laksana ialah pembesaran kawasan Mas'aa
(kawasan untuk ibadah Saie). Projek itu siap dua tahun lepas dan
meningkatkan kapasiti jemaah daripada 28,000 sejam kepada 130,000
orang," katanya.
Menurutnya kini wujud keperluan baharu untuk meningkatkan kapasiti Mataf iaitu kawasan tawaf.
"Projek ini baharu sahaja bermula. Apabila siap kelak akan dapat
menampung sekitar 48,000 hingga 130,000 jemaah setiap jam," katanya.
Selain itu katanya projek kereta api laju antara Madinah dan Mekkah yang
dijadual siap dalam masa dua tahun, akan memendekkan tempoh perjalanan
antara kedua-dua bandar suci itu kepada dua jam, berbanding lima jam
jika menggunakan pengangkutan jalan.
"Kami juga ada rangkaian Internet yang berkeupayaan tinggi," katanya
menambah projek menaik taraf kota suci itu adalah pelaburan masa depan
untuk semua umat Islam bukan hanya untuk rakyat Arab Saudi.
"Rakyat Saudi hanya sebahagian kecil," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment