KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi
dalam soal keselamatan dan kesihatan bakal jemaah haji di tanah suci
Mekah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=960128
Published: July 02, 2013
Beliau berkata komitmen itu jelas apabila semua bakal jemaah haji
Malaysia diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selain mengambil
ubat dan diberi suntikan vaksin sebelum berangkat mengerjakan rukun
Islam kelima itu.
"Kerajaan Malaysia bukan hanya ambil langkah berjaga-jaga bila ada
penyakit datang, tapi setiap masa," katanya kepada pemberita selepas
majlis Pembentangan Dapatan Kajian Pemacuan Transformasi Sistem
Perundangan Islam di Malaysia di sini, hari ini.
Jamil Khir mengulas penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat
(MERS) di Arab Saudi yang dilaporkan meragut 33 nyawa sejak September
lalu, manakala 55 lagi jatuh sakit setakat ini.
Bagaimanapun, beliau berkata sehingga ini, Kuala Lumpur belum menerima
sebarang maklumat dari Jeddah mengenai penularan virus yang membawa
maut itu.
Dalam pada itu, Jamil Khir meminta agensi pelancongan atau pengembaraan
yang menawarkan pakej umrah supaya hanya menetapkan tarikh berangkat ke
tanah suci selepas permohonan visa diluluskan kerajaan Arab Saudi.
Beliau berkata ini penting untuk mengelak insiden jemaah terkandas dan
tidak dapat melakukan umrah walaupun telah melunaskan bayaran.
"Ada agensi yang atur tarikh berangkat untuk umrah walaupun visa tak
keluar lagi. Syarikat ini harus faham bahawa Arab Saudi ada sistem
pengeluaran visa yang mana mereka perlu pastikan jumlah permohonan tidak
melebihi jumlah yang sepatutnya berada di sana," katanya.
Mengenai keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 22 Jun lalu
membenarkan peguam bukan Islam bertindak sebagai peguam syarie di semua
mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan, Jamil Khir berkata perkara itu
perlu dilihat dari sudut realiti dan kesannya pada masa akan datang.
"Dari sudut pelaksanaan boleh jalan...tapi kalau berlaku penghinaan
mahkamah (oleh peguam bukan Islam) ia akan mendatangkan kesukaran kepada
mahkamah kerana mahkamah syariah tidak boleh bicarakan kes bagi bukan
Islam," jelasnya.
Dapatan Kajian Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di
Malaysia yang dibentangkan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Profesor Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin mengenal pasti 10 isu dan
cabaran berkaitan undang-undang Islam di negara ini.
Antaranya salah tanggapan tentang kedudukan/kedaulatan Islam di Malaysia
dan kaedah-kaedah pembetulan berkesan; mekanisme penyelarasan dan
penyeragaman undang-undang Islam di Malaysia; tiada kerjasama sistematik
antara agensi-agensi perundangan Islam serta peningkatan
profesionalisme modal insan dalam bidang perundangan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment