Sunday, July 7, 2013

TH Sedia Fasiliti Perubatan Terbaik Kepada Jemaah Haji Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Tabung Haji (TH) bersiap sedia dengan kelengkapan perubatan terbaik bagi musim haji tahun ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan kesihatan di kalangan jemaah haji negara.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=961485
Published: July 07, 2013

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail berkata biarpun Arab Saudi kini dilaporkan berdepan penularan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), namun tiada notis sekatan dikenakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat ini terhadap pergerakan bakal jemaah haji.

"Jemaah tidak perlu risau kerana virus itu hanya melibatkan kawasan timur Arab Saudi, sementara gerakan haji tertumpu di sebelah barat.

"Apa yang penting, bakal jemaah perlu sentiasa hadir ke kursus yang dijalankan kerana kami akan memberi status terkini keadaan semasa di sana.

"Malah kami sentiasa mengemaskinikan isu itu dengan kerajaan Arab Saudi dan KKM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyerahkan hadiah berupa dua buah kereta Proton Preve masing-masing kepada johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-56 yang berlangsung di Kelantan bulan lepas.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan belum menemui vaksin untuk mencegah MERS yang setakat ini meragut 33 nyawa manakala 55 lagi dijangkiti virus itu di Arab Saudi sejak September lepas.

Mengenai pemotongan kuota jemaah tahun ini, Ismee berkata walaupun kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota sebanyak 20 peratus tetapi penawaran menunaikan haji kepada jemaah haji negara ini tidak akan diarik balik.

Ismee berkata setiap tahun jumlah jemaah Malaysia yang diluluskan kerajaan Arab Saudi ialah seramai 27,900 orang namun ekoran pemotongan sebanyak 5,400 tempat itu menjadikan jumlah bakal jemaah Malaysia tahun ini ialah seramai 22,500 orang.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment